KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan membincangkan keputusan menerima permohonan parti politik lain untuk menyertai mereka pada mesyuarat Majlis Tertinggi menjelang Oktober depan.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau mengesahkan tiada sebarang perbincangan rasmi mengenai keputusan untuk menerima parti lain dalam mesyuarat GRS Ahad lalu.
“Kita tidak ada agenda untuk membincangkan itu (keputusan penyertaan parti lain dalam GRS), tetapi kita tetapkan akan bincangkan permohonan tersebut dalam mesyuarat akan datang.
“Mesyuarat akan datang kemungkinan diadakan pada Oktober, jadi di sana baru kita putuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam laporan Sinar Harian selepas hadir Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) kepada penerima di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung perkembangan keputusan GRS berkaitan permohonan beberapa parti untuk sertai gabungan itu.
Hajiji bagaimanapun sekali lagi mengulangi pendirian bahawa GRS sentiasa terbuka kepada parti-parti yang menerima perjuangan gabungan itu terutama kepada parti tempatan.
“Kita mahu cuba satu padukan mereka dalam satu gabungan iaitu gabungan rakyat Sabah.
“Jadi beri ruang kepada kami untuk memikirkan perkara itu dan kita akan buat yang terbaik untuk mereka,” katanya.