KOTA KINABALU : Golongan bapa perlu memainkan peranan penting dalam keluarga sekali gus memastikan anak-anak tidak terpengaruh pelbagai unsur negatif daripada gadget.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kepentingan ilmu kekeluargaan seharusnya diberi perhatian termasuk aspek pendidikan, keagamaan dan pembangunan sahsiah serta akhlak yang mulia.
Katanya, bapa mempunyai tugas selaku ketua keluarga disamping dapat melahirkan generasi menjadi insan baik.
“Jadi, ini peranan penting yang kita fikirkan perlu difahami sebab kita tidak mahu bapa sekarang, bapa yang muda ini dia menyerahkan pendidikan anak ini kepada teknologi.
“Malah, fenomena yang agak merisaukan apabila kita mendidik anak dengan teknologi, membiarkan anak-anak terpengaruh dengan teknologi tanpa memberikan mereka pendedahan tentang agama, pendidikan akhlak dan juga pendidikan formal,” katanya.
Mustapha berkata, pemantauan dalam perkara ini sangat penting untuk menjadikan generasi yang dipengaruhi maklumat daripada sumber gadget teknologi sahaja.
“Kita sendiri sebagai ibu bapa tidak memberikan pendedahan yang baik kepada mereka.
“Jadi, saya fikir ini perlu diusahakan bersama supaya kita dapat melahirkan generasi yang baik untuk menjadi pewaris kepada negeri dan juga negara ini,” jelas Mustapha.
Menurutnya, beliau menegaskan pemerkasaan lelaki dalam keluarga perlu berfokus kepada memberikan sokongan dan kesedaran kepada lelaki untuk menjalankan tanggungjawab mereka kepada suami, bapa dan pemimpin keluarga.