KOTA KINABALU: Polis Sabah menafikan gambar infografik tular di media sosial kononnya perintah berkurung dikenakan terhadap daerah dalam Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE).
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kawasan terlibat dalam perintah berkurung bermula 10 Mei, 2022 hingga 25 Mei, 2022, daripada jam 6 petang hingga 6 pagi, adalah melibatkan kawasan tiga batu nautika dari darat membawa ke persempadanan antarabangsa bagi daerah Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau sahaja.
“Mana-mana mereka ingin memasuki kawasan tersebut perlu memohon permit khas yang dikeluarkan oleh pihak polis.
“Tidak timbul isu semua penduduk di daerah ESSZONE dikenakan perintah berkurung dan dikehendaki berada di rumah mulai jam 6 petang hingga 6 pagi bermula 10 Mei, 2022 hingga 25 Mei, 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.
Jauteh berkata, satu laporan polis diterima berkaitan berita yang ditularkan itu manakala siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan bersama Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan apa jua berita yang tidak sahih atau palsu kerana mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (jika disabit hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya) dan di bawah Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (jika disabit hukuman boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya).
Kawasan ESSZONE merangkumi kawasan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Baru-baru ini tular di media-media sosial dan aplikasi WhatsApp satu infografik berkaitan pengisytiharan perintah berkurung di kawasan ESSZONE bermula 10 Mei 2022 sehingga 25 Mei 2022 meliputi daerah Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Antara isi kandungna infografik tersebut ialah penggunaan peta kawasan ESSZONE yang meliputi daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau sebagai kawasan yang dikenakan perintah berkurung bermula 10 Mei 2022 sehingga 25 Mei 2022. Semua penduduk di kawasan tersebut dikehendaki berada di rumah bermula jam 6 petang sehingga jam 6 pagi.
Turut digunakan di dalam infografik tersebut adalah logo Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).