Gagasan Rakyat Labuan tumpu usaha tambah cawangan dan keahlian di peringkat akar umbi

LABUAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Labuan berusaha untuk  menambah cawangan dan keahlian di peringkat akar umbi.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Labuan, Rosli Awang Damit berkata, partinya akan berusaha untuk memperbanyakkan  cawangan dan juga ahli disamping komited melaksanakan sepenuhnya agenda parti yang dipimpin oleh Presiden, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Beliau berkata, Gagasan Rakyat yang baharu sahaja ditubuhkan telahpun mempunyai lebih  2,000 keahlian dengan 21 cawangan telahpun berjaya diwujudkan di peringkat akar umbi.

‘Kepimpinan Gagasan Rakyat akan komited untuk melaksanakan  sepenuhnya agenda parti dan akan turun ke peringkat akar umbi berjumpa rakyat bagi  menjelaskan misi parti serta berusaha  memperbanyakkan cawangan dan ahli diperingkat Labuan,” katanya ketika ditemui media pada Mesyuarat Agung pertama Gagasan Rakyat Bahagian Labuan di salah sebuah hotel, dekat sini, pada Isnin lepas.

Mesyuarat yang julung kalinya diadakan itu telah dirasmikan oleh Naib Presiden 1 Gagasan Rakyat Datuk Dr. Ariffin Mohd Arif.

Hadir sama, Setiausaha Agung Gagasan Rakyat Datuk Mohd Razali Razi.

Terdahulu, Mohd Ariffin ketika berucap berkata, penubuhan Gagasan Rakyat di Labuan  memperkukuhkan lagi parti itu sebagai payung baharu untuk Labuan dan Sabah dalam memperjuangkan nasib rakyat  di peringkat akar umbi.

Katanya pelebaran sayap parti itu ke Labuan  memperlihatkan keyakinan kepimpinan parti dalam usaha memperjuangkan kebajikan dan pembangunan ekonomi rakyat Labuan dan juga Sabah.