KOTA KINABALU: Gabungan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) berharap cadangan undang-undang anti-lompat akan diluluskan oleh penggubal dasar dari kedua-dua belah pihak apabila ia dibentangkan di Parlimen pada bulan ini.
Presidennya, Tan Sri T.C Goh berkata ini lebih mencerminkan demokrasi dan berharap sebaik sahaja undang-undang tersebut diluluskan di Parlimen, kerajaan negeri juga akan mengikutinya untuk meluluskan undang-undang yang sama atau membuat pindaan yang perlu kepada undang-undang berkaitan yang sedia ada mengikut apa yang diluluskan di Parlimen.
“Ini adalah untuk memastikan kedua-dua undang-undang Persekutuan dan negeri yang berkaitan adalah konsisten antara satu sama lain untuk mengelakkan penggubal dasar di peringkat persekutuan dan negeri daripada bertukar parti politik,” katanya pada majlis penyerahan bantuan wang tunai RM20,000 Huazong untuk mangsa banjir di sini, hari ini.
Beliau mengakui bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia berharap bahawa kelulusan undang-undang anti-lompat secara berkesan akan menghentikan trend politik tidak sihat wakil rakyat yang melompat dari satu parti politik ke parti politik yang lain, wakil rakyat sebegini lazimnya dikenali sebagai “katak politik”.
Goh yang juga Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) mengingatkan bahawa cadangan perundangan anti-lompat adalah salah satu kata sepakat utama yang dicapai antara kerajaan dan penggubal dasar dari kedua-dua belah pihak yang berpecah apabila menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk transformasi dan kestabilan politik.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah berjanji semasa pertemuan dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, pada 1 Mac, berjanji bahawa cadangan undang-undang anti-lompat akan dibentangkan di Parlimen dalam bulan ini.
“Undang-undang anti-lompat yang dicadangkan telah banyak dijangkakan bukan sahaja oleh penggubal dasar kedua-dua belah pihak tetapi juga oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Justeru, diharap ia dapat diluluskan di Parlimen tidak lama lagi dan dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.
Beliau juga optimis bahawa jawatankuasa teknikal yang terdiri daripada penggubal dasar dari kedua-dua belah pihak yang ditubuhkan berikutan pemeteraian MoU mengenai transformasi dan kestabilan politik akan memberikan pengesahannya untuk cadangan undang-undang baharu termasuk undang-undang anti-lompat.