LAHAD DATU: Polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan yang disahkan positif COVID-19 dipercayai melarikan diri selepas menerima rawatan di Hospital Daerah Lahad Datu, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, suspek dikenali sebagai Firdaus Abdul Halim berumur 30 tahun mengadu deman serta hilang deria rasa selepas disahkan positif COVID-19 hasil ujian saringan di Jabatan Kecemasan Hospital Lahad Datu.
Katanya bagaimanapun suspek dilaporkan tiada semasa proses dokumentasi dijalankan sekali gus dipercayai melarikan diri dalam kejadian kira-kira jam 6.07 petang semalam.
“Polis menerima laporan daripada pegawai perubatan mengenai kejadian itu dan usaha kini sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek yang dipercayai masih berada di daerah Lahad Datu.
“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan yang boleh hukum penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.
Rohan Shah berkata, suspek juga boleh disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Rohan Shah menggesa agar warga Lahad Datu supaya tampil menyalurkan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu atau balai polis berhampiran sekiranya mempunyai maklumat mengenai lokasi suspek.