RIYADH : Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyaksikan pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) antara dua agensi KUSKOP SME Corp Malaysia dan PERNAS dengan agensi Monsha’at (Small and Medium Enterprises General Authority) Arab Saudi.
Beliau berharap, pementeraian MoU itu akan memperkukuh lagi kerjasama strategik antara dua agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam sektor tumpuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan francais dengan agensi PKS di Timur Tengah.
“Saya dan Menteri Perdagangan Arab Saudi Dr Majid Abdullah Al-Kassabiah menyaksikan pemeteraian MoU di antara SME Corp dan PERNAS dengan Monsha-at.
“Semoga kerjasama yang lebih kukuh dapat dibangunkan di antara agensi kedua-dua kementerian serta di antara kedua-dua kerajaan dan juga sesama perusahaan dari kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kemudiannya, Ewon menyempurnakan pembukaan Pavilion Malaysia sempena BIBAN24. Sebanyak 30 syarikat PKS, francais dan koperasi dari Malaysia mengambil bahagian di Pavilion Malaysia sepanjang lima hari ekspo itu.
Katanya, usahawan yang menyertai pameran itu adalah usahawan yang dibangunkan oleh agensi-agensi KUSKOP iaitu SME Bank, SME Corp, PERNAS, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan juga Malaysian Franchise Association (MFA).
“Ini adalah peluang terbesar usahawan-usahawan, syarikat-syarikat francais Malaysia menyertai pameran perniagaan PKS terbesar di Arab Saudi seterusnya merebut peluang meluaskan pasaran atau mengeksport produk mereka di Timur Tengah,” katanya.
Ewon bersama delegasi KUSKOP mengadakan lawatan kerja selama dua hari di Riyadh, Arab Saudi.