Enam ditahan bersama wang tunai RM1.4 juta dalam operasi JRS di Tawau

TAWAU : Enam individu ditahan bersama sejumlah RM1.4 juta wang tunai dirampas dalam serbuan Operasi Jenayah Rentas Sempadan (JRS) di daerah ini di sini semalam.

Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Victor Sanjos berkata, suspek masing-masing berumur antara 40 hingga 47 tahun ditahan dalam operasi dikoordinasikan ESSCOM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.

Katanya, kesemua individu terbabit ditahan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk siasatan lanjut. 

“Dala operasi tersebut beberapa peralatan termasuk telefon bersama dokumen serta fail-fail berkaitan turut dirampas semasa operasi dijalankan.

“Objekif utama operasi ini adalah demi menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) selain bertujuan membanteras penyeludupan barang tidak bercukai secara menyeluruh sehingga ke akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Victor berkata, ESSCOM komited dalam membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan terutamanya di ESS Zone bagi menyokong pembangunan negara dan pengukuhan sosioekonomi masyarakat.

“Ini berlandaskan kepada nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan demi memastikan hasrat Agenda Malaysia MADANI dicapai.

“ESSCOM akan terus memperhebatkan operasi bersepadu seumpama ini ke daerah ESS Zone bagi mengekang elemen jenayah rentas sempadan mengganggu-gugat keselamatan serta kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah,” jelas Victor.

Menurutnya, selaras dengan kejayaan Op JRS ESSCOM yang dilaksanakan pada 11 Oktober dan menyasarkan sembilan premis di sini ESSCOM menzahirkan penghargaan kepada petugas seramai 84 orang terdiri daripada pegawai dan anggota dari LHDN, PDRM Bukit Aman serta ESSCOM.

“Kita menyeru kepada masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072,” kata Victor.