KOTA KINABALU: Musim kemarau yang berpanjangan, diburukkan lagi dengan fenomena El Nino, memberi cabaran besar kepada pengeluaran keselamatan makanan di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata, kekurangan taburan hujan dan peningkatan suhu telah menyebabkan paras air sungai berkurangan antara 10 peratus dan 40 peratus daripada paras biasa, memberi kesan kepada aktiviti pertanian, ternakan, akuakultur dan pengeluaran getah.
“Sebagai tindak balas, saya telah meminta laporan daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah kementerian saya untuk menilai keadaan dan langkah-langkah yang sedang dilaksanakan bagi mengurangkan kesan buruk fenomena itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Jeffrey berkata, penilaian menyeluruh, yang dikumpulkan daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah kementeriannya, menunjukkan bahawa cuaca kering telah memberi kesan ketara kepada sektor pertanian dalam pelbagai cara.
Katanya, ini termasuk penurunan paras air untuk pengairan, menghalang pertumbuhan tanaman akibat penurunan hujan, dan potensi risiko penurunan produktiviti ternakan akibat kekurangan makanan.
Beliau memberi amaran bahawa keadaan itu serius dan memerlukan perhatian segera dan berterusan.
Justeru, Jeffrey berkata, kementeriannya sedang giat melaksanakan langkah-langkah untuk mengurangkan kesan buruk dan memastikan daya tahan sistem pengeluaran keselamatan makanan.
Beliau turut berkongsi penemuan jabatan di bawah kementeriannya antaranya Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) Sabah mendapati kebanyakan sungai di Sabah mengalami penurunan paras air sehingga menjejaskan bekalan air pengairan dengan ketara.
“Kawasan kritikal termasuk Kota Belud, Keningau, Membakut, Tambunan dan Kota Marudu,” katanya.
Menurutnya jabatan itu juga berkongsi bahawa pengurangan ketara dalam paras air telah dilaporkan dalam beberapa skim pengairan, dengan langkah-langkah seperti catuan air dilaksanakan untuk menguruskan sumber yang terhad.
Jeffery berkata, angka ukuran termasuk Skim Timbang Batu Kota Marudu, menunjukkan penurunan berterusan dalam paras air sungai; Skim Pengairan Membakut, di mana paras air sungai telah menurun sebanyak dua meter dari paras biasa, menyukarkan usaha pengairan; dan Sg Padas Beaufort dengan paras air kini pada 2.58m, jauh lebih rendah daripada paras biasa 4.5m.
Sementara itu, berkaitan dengan pengeluaran makanan, Jeffery berkata, Jabatan Pertanian Sabah mendapati fenomena El Nino telah menyebabkan penurunan hujan (sekitar 80mm pada Januari dan Februari 2024), memberi kesan buruk kepada agronomi tanaman dan pengurusan tanah.
“Terutamanya, pertumbuhan vegetatif, berbunga, dan penetapan buah terhalang, yang berpotensi mengurangkan hasil jangka panjang,” katanya.
Berkaitan pengurusan tanah, beliau berkata, peningkatan suhu telah mempercepatkan penyejatan air tanah, menyebabkan tanah kering, kelembapan tanah berkurangan dan menghalang penembusan akar, yang mana menjejaskan penyerapan nutrien dan air.
Bagi ternakan, Jeffrey berkata, di kawasan seperti K1 untuk penanaman padi, pertumbuhan tanaman telah terbantut akibat kekurangan air, justru menjejaskan ketersediaan makanan untuk ternakan.
Jeffrey berkata Jabatan Perikanan Sabah mendapati bahawa dalam akuakultur, kebanyakan operasi ternakan ikan masih belum melaporkan sebarang kesan yang ketara, hasil daripada nasihat awal dan pengurangan kadar stok.
Bagaimanapun, katanya, keadaan kering berterusan boleh menyebabkan kekurangan air di stesen akuakultur dan menjejaskan populasi ikan air tawar.
Beliau juga berkata bahawa tiada kematian ikan atau kerugian besar dilaporkan dalam jawatankuasa “tagal” setakat ini.
“Bagaimanapun, jika cuaca kering berterusan, keadaan boleh menjadi lebih teruk, berpotensi membawa kepada kematian ikan,” katanya.
Sementara itu, Jeffery berkata, Koperasi Pembangunan Desa (KPD) melaporkan cabaran dalam pengeluaran tanaman dan ternakan, dengan peningkatan kadar kematian dalam pengangkutan anak ayam di bawah lima peratus dan keperluan untuk usaha pengairan tambahan untuk mengekalkan kesihatan tanaman dalam bidang pertanian dan ternakan.
Bagi Lembaga Perindustrian Getah Sabah (LIGS), beliau berkata, berikutan keadaan kering, penanaman getah baharu terhenti, aktiviti pembajaan yang perlahan, dan pengurangan penorehan di kawasan ladang yang sangat kering untuk mengurangkan risiko kematian pokok.
Katanya 1.7 juta sulur nanas MD2 telah ditanam di Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat di Kampung Gana, Kota Marudu.
“Kawasan ini telah menerima sedikit hujan dan tidak terjejas teruk dengan keadaan kering, membolehkan penanaman nanas diteruskan tanpa halangan yang ketara,” katanya.
Jeffrey juga berkongsi langkah dan cadangan di semua jabatan dan agensi, pelbagai langkah proaktif sedang diambil untuk menangani cabaran yang ditimbulkan oleh cuaca kering.
Pengurusan pengairan: Pelaksanaan catuan air dan penggunaan pam mudah alih untuk memastikan bekalan air pengairan.
Amalan pertanian: Memberi nasihat tentang pengurangan kadar stok, penangguhan aktiviti pertanian tertentu, dan penggunaan varieti tanaman tahan kemarau jika boleh.
Penyesuaian akuakultur: Menggalakkan pengendali akuakultur untuk mengurangkan kepadatan stok dan menghentikan operasi, jika perlu, untuk meminimumkan kerugian.
Pengurusan ternakan: Mencadangkan strategi untuk mengurangkan tekanan haba dan kekurangan makanan untuk ternakan.
Pelarasan industri getah:
Penggantungan sementara aktiviti tertentu dan penekanan kepada penyelenggaraan ladang sedia ada untuk memastikan kesihatan tumbuhan.