KOTA KINABALU: Sabah terus mencatat kemajuan luar biasa apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri itu meningkat kepada RM84.3 bilion pada 2024, iaitu rekod tertinggi sejak pandemik COVID-19.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pencapaian itu membuktikan kekuatan dasar fiskal kerajaan negeri serta pengurusan hasil yang berhemat walaupun berdepan cabaran global seperti ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan pasaran komoditi.
“Ekonomi Sabah kekal berdaya tahan dan dijangka terus berkembang antara 1.5 hingga 2 peratus bagi tahun 2025 dan 2026 hasil pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi,” katanya di sini semalam.
Beliau turut memaklumkan kadar inflasi negeri berjaya dikawal pada 1.2 peratus, lebih rendah berbanding kadar nasional 1.8 peratus. Ini hasil pelbagai inisiatif kerajaan termasuk Skim Pinjaman Kredit Mikro bernilai RM2.37 juta yang membantu lebih 1,200 usahawan kecil dan sederhana.
Menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bermula 2026, Hajiji berkata Sabah bakal menerima peruntukan pembangunan tertinggi sebanyak RM6.9 bilion bagi tahun pertama, manakala Kabinet Negeri sudah meluluskan siling perbelanjaan RM12.02 bilion melibatkan 1,173 projek — jumlah terbesar dalam sejarah negeri.
Dalam aspek pelaburan, Sabah terus menjadi destinasi pilihan dengan jumlah pelaburan sektor pembuatan mencecah RM24.9 bilion sejak 2021 daripada 87 pelabur tempatan dan antarabangsa.
Antara pelaburan utama termasuk SK Nexilis (RM4.29 bilion), SBH Kibing Solar (RM3.43 bilion) dan Esteel Enterprise (RM6.59 bilion) yang membuka lebih 38,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Sektor pelancongan juga menunjukkan kebangkitan luar biasa apabila merekodkan 10.67 juta pelancong dengan jumlah perbelanjaan RM23.42 bilion dari 2021 hingga kini, disokong pembukaan hotel bertaraf antarabangsa seperti Sheraton Kota Kinabalu, Club Med Borneo Kuala Penyu dan Inter-Continental Papar.
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut memperkukuh agenda pendidikan dan infrastruktur termasuk menaikkan peruntukan biasiswa kepada RM145 juta, menaik taraf 90 loji rawatan air, serta meluluskan 11 projek tenaga baharu berkapasiti 1,219 megawatt menjelang 2031 — menjadikan Sabah semakin kukuh menuju status negeri maju.
