Dua warga asing terselamat bot pam terbakar

KOTA KINABALU: Sebuah bot pam milik dua lelaki warga asing dipercayai terbakar dalam kejadian di sini hari ini.

Dalam kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 10.16 pagi kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, kedua-dua mangsa berumur 40 dan 14 tahun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang sejauh kira-kira 200 meter hingga ke kawasan pantai.

“Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kedua-dua mangsa terpaksa terjun ke laut selepas sebuah bot pam dipercayai digunakan mangsa terbakar.

“Bot terbabit kemudiannya tenggelam pada jarak kira-kira 200 meter dari kawasan Jalan Tanjung Lipat di sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pasukan bomba kemudiannya membantu mangsa untuk naik ke darat dan tiada operasi pemadaman dilakukan. Operasi menyelamatkan mangsa tamat sepenuhnya pada jam 10.38 pagi.