TAWAU : Dua wanita cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabas sekali gus masuk gaung sedalam empat meter dalam kemalangan di Jalan Kampung Ranggu, Tawau di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, mangsa berusia 33 dan 31 tahun kemudiannya dihantar ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan lanjut.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.40 pagi.
“Bomba bersama lapan anggota dan pegawai bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan ini membabitkan sebuah kereta yang dipercayai terbabas sendiri lalu masuk gaung sedalam empat meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jemishin berkata, terdapat dua mangsa masih berada di dalam kereta berkenaan sekali gus berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di kawasan kemalangan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.19 pagi,” katanya.
