BELURAN: Dua maut dalam satu kejadian kemalangan melibatkan sebuah lori terbabas sendiri membawa muatan baja di Jalan Beluran/Paitan, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, mangsa yang maut iaitu pemandu lori, 44 dan penumpang dalam lingkungan 25 tahun.
Beliau berkata dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi tu, lori terbabit dari arah Lahad Datu menuju ke Paitan.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati sebuah lori yang membawa muatan baja telah hilang kawalan kemudian terbabas dan masuk ke dalam gaung dipercayai akibat mengalami masalah teknikal iaitu brek gagal berfungsi. Akibat kejadian tersebut pemandu dan penumpang telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.