Dua lelaki ditahan curi set panel lampu solar di PPRT Taman Sri Bukit Tawau

TAWAU : Polis Tawau menahan dua lelaki kerana disyaki mencuri enam set panel lampu solar di Jalan PPRT Taman Sri Bukit Tawau yang dianggarkan bernilai RM6,000 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, penahanan dua lelaki warga asing berusia 31 dan 50 tahun itu dibuat susulan laporan polis yang dibuat orang awam.

“Pihak Polis telah menerima laporan pada jam 4.35 petang daripada orang awam memaklumkan telah berlaku kecurian beberapa set panel lampu solar oleh orang yang tidak dikenali dan tiang lampu solar telah ditumbangkan di kawasan Jalan PPRT Taman Sri Bukit Tawau pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, hasil risikan dan tindakan pantas polis dari Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Bombalai, telah memberkas dua lelaki yang merupakan penggangur di kawasan Pelupusan Sampah Bukit Gemuk, Tawau pada jam lebih kurang 5.40 petang.

“Ketika ditahan suspek cuba bertindak melarikan diri dan akhirnya berjaya ditangkap selepas berlaku bergelutan dengan pasukan serbuan,” katanya.

Tambahnya, berpandukan arah oleh salah seorang suspek telah membawa pihak Polis ke kawasan semak berhampiran tapak pelupusan sampah, Bukit Gemuk dan telah menunjukkan kepada pihak Polis beberapa barang yang telah dicuri, antaranya dua unit lampu solar dan empat unit panel solar yang disembunyikannya di dalam semak kawasan tersebut.

Katanya, suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Hasil penahanan dua suspek terbabit, kita telah berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian melibatkan kemudahan awam di kawasan tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Jasmin berkata Polis Daerah Tawau sedang mempergiatkan lagi usaha membanteras jenayah dan penyalahgunaan dadah dari masa ke masa dengan operasi yang lebih agresif bagi mengesan dan melumpuhkan aktiviti penjenayah.