D’Soang Market, satu lagi pasar malam dibuka di Sadong Jaya

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan membuka satu lagi pasar malam bertempat di Sadong Jaya yang dikenali sebagai D’Soang Market @ Sembulan River, Sadong Jaya.

Ketua Pengarah DBKK Junainah Abbie berkata D’Soang Market akan mula beroperasi pada 05 Oktober 2023 (Khamis) ini seawal jam 5 petang hingga 12 tengah malam.

Katanya Pasar malam ini akan dibuka setiap hari iaitu Isnin hingga Ahad dengan menawarkan pelbagai jenis jualan makanan.

Sebanyak 30 buah khemah jualan akan mula beroperasi yang terdiri daripada pengusaha kecil dalam kalangan penduduk setempat, katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Menurutnya uniknya pasar malam ini terdapat jualan buah-buahan bermusim seperti pelbagai jenis buah durian, manggis, langsat dan banyak lagi serta jualan makanan tradisi ala kampung.

Beliau berkata pembukaan pasar malam ini bertujuan untuk membantu meningkatkan sosio ekonomi kawasan Sembulan dan penduduk tempatan serta diharap menjadi salah satu tarikan baharu pengunjung dan pelancong yang datang ke Kota Kinabalu.

Orang ramai bolehlah datang berkunjung ke D’Soang Market bersama ahli keluarga dan rakan taulan bagi memeriahkan dan merasai pengalaman baharu di pasar malam ini.