KOTA KINABALU : Parti Warisan Bahagian Sipitang telah mencadangkan penubuhan “Pusat Perindustrian dan Perdagangan Selatan Sabah” di Sipitang untuk merancakkan kegiatan ekonomi di selatan Sabah dan sebagai penyelesaian kepada kadar pengangguran dan insiden kemiskinan mutlak yang tinggi di daerah itu.
Ketua Bahagian Warisan Sipitang, Abd. Aziz Taip menyatakan bahawa ini juga akan membolehkan daerah-daerah berhampiran seperti Tenom, Beaufort, Kuala Penyu dan Nabawan menikmati limpahan ekonomi dan membolehkan pembangunan yang lebih pantas dicapai.
“Agenda utama Warisan Sipitang ialah untuk meningkatkan pendapatan bulanan penduduk Sipitang melalui pekerjaan tetap dan aktiviti ekonomi agar mereka dapat melangkaui Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Katanya sebagai daerah yang dikenali dengan industri kertas dan palpa (SFI) serta minyak dan gas (SOGIP), sistem infrastruktur dan utiliti asas yang sedia ada disini, termasuklah pelabuhan di SOGIP, boleh dinaiktaraf manakala rangkaian telekomunikasi dan internet diperluaskan lagi demi memenuhi keperluan para pelabur asing dan domestik.
Menurutnya dengan lokasi yang sempurna serta kehadiran Lebuhraya Pan Borneo, ianya juga satu langkah strategik untuk menjadikan Sipitang pusat perdagangan negeri baru yang mampu memberikan perkhidmatan kepada komuniti perniagaan dari Kalimantan, Sarawak dan Brunei,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Aziz lagi, Warisan Sipitang melihat daerah itu sebagai ‘Kawasan Perindustrian Kedua’ di mana aktiviti-aktiviti pengilangan dan pemprosesan getah asli, minyak sawit mentah atau nanas untuk menghasilkan kasut, minyak masak atau jem nanas boleh dilakukan.
“Kita sepatutnya memproses komoditi-komoditi mentah ini di negeri kita sendiri dan bukan menghantarnya ke Semenanjung untuk diproses kerana ini boleh menjana peluang pekerjaan yang sangat diperlukan oleh belia-belia kita dan menghidupkan semula sektor perkhidmatan dan pembinaan yang semakin tenat di Selatan Sabah.
“Inilah sebabnya mengapa Warisan Sipitang berpendapat bahawa kebergantungan yang tinggi terhadap industri tunggal di Sipitang seperti industri kertas/palpa serta pemprosesan minyak dan gas, yang tidak disokong oleh aktiviti hiliran secara meluas, telah merencatkan pembangunan ekonomi di daerah ini,” katanya.
Beliau berkata industri perkhidmatan minyak dan gas hanya bermanfaat kepada mereka yang mempunyai perniagaan sedia ada dalam pembekalan alat ganti, mesin dan bahan binaan dan bukannya penduduk tempatan di daerah berhampiran yang kebanyakannya terlibat dalam sektor pertanian.
“Kita juga mesti mengutamakan penyertaan sektor swasta yang sepatutnya menjadi enjin pertumbuhan di Sipitang dengan memberi mereka lebih banyak peluang melalui “Agenda Kepelbagaian Industri” bukan hanya dalam pemprosesan produk pertanian tetapi juga dalam pemasangan jentera ringan seperti gergaji berantai dan mesin pemotong rumput.
“Dan kami percaya kepelbagaian industri ini boleh dicapai memandangkan Sipitang sudah mempunyai asas yang baik dalam infrastruktur/utiliti, bekalan air dan elektrik yang stabil dari Hdro Tenom dan jeti di Sogip,” jelasnya.
Beliau juga menyelar beberapa pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang cenderung untuk mengumumkan cadangan pelaburan bernilai bilion ringgit di Sipitang yang mungkin tidak akan memberi manfaat secara terus dan untuk jangka masa panjang kepada penduduk tempatan.
“Cadangan atau kertas kerja pelaburan besar yang diumumkan oleh beberapa pemimpin-pemimpin GRS ini berkemungkinan tidak akan berkesan untuk menangani isu “pekerjaan tetap” sama ada di Negeri Sabah atau Sipitang sendiri kerana jumlah pekerja yang besar yakni antara 5,000 hingga 10,000 orang hanya akan diperlukan semasa fasa pembinaan yang menelan masa kira-kira 24 bulan.
“Apa yang tidak diketahui oleh ramai orang ialah kebanyakkan daripada pelabur-pelabur ini akan mahu menyegerakan pembinaan loji atau kilang mereka dalam masa kurang daripada 24 bulan kerana mereka juga mahu menikmati insentif pelaburan dari Kerajaan Persekutuan dalam bentuk pengecualian cukai selama 5 atau 10 tahun,” jelasnya.
Abd Azizi berkata menjelang akhir fasa pembinaan ini, 2/3 daripada pekerja-pekerja yang terlibat akan menamatkan perkhidmatan mereka dan perlu pula mencari pekerjaan di tempat lain lagi.
Katanya ini juga merupakan salah satu sebab mengapa tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada industri tunggal untuk pembangunan ekonomi Sabah.