Cadangan Pembinaan Pelabuhan Kudat diteruskan – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Cadangan pembinaan pelabuhan Kudat diteruskan bagi merancakkan ekonomi sekali gus mampu menjana hasil pendapatan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perancangan tersebut tetap diteruskan memandangkan Kudat dilihat berpotenasi berdasarkan lokasinya yang sangat strategik.

“Saya telah berbincang dengan Ketua Menteri berhubung cadangan keputusan ini. Beliau bersetuju agar cadangan ini diteruskan di masa depan.

“Kita harap kerajaan pusat bukan sahaja bersetuju malah dapat menyediakan peruntukan khusus bagi melaksanakan projek ini dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugreh Perkhidmatan Cemerlang 2021 Lembaga Pelabuhan-Pelabuan Sabah (LPPS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam tadi.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kerajaan negeri optimis terhadap perancangan itu mampu merangsang pembangunan setempat berikutan daerah Kudat mampu melonjakkan kawasan berhampiran termasuk Kota Marudu, Matunggung serta Pitas.

“Jika perancangan ini dapat direalisasikan daerah Kudat akan menjadi pesat membangun disamping selari dengan pelaksanaan projek lebuh raya Pan Borneo serta memudahkan lagi sistem perhubungan antara Kudat dan Kota Kinabalu,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Bung Moktar berkata, kakitangan LPPS menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) perlu mengekalkan memontum perkhidmatan cemerlang mereka sebagai tanda aras kepada rakan sekerja lain.

“Saya harap kakitangan LPPS akan terus memberikan komitmen yang tinggi memikul tugas dan amanah diberikan dengan melihat perubahan semasa sekali gus meletakkan LPPS dicontohi dimasa depan,” katanya.