Cabaran dan pendekatan komunikasi dalam mencapai imuniti kelompok COVID-19 di Sabah

Oleh: Dr Latif Lai

Keberadaan vaksin Covid-19 di Malaysia dilihat sebagai satu sinar di penghujung terowong untuk keluar dari cengkaman pandemik Covid-19. Walau bagaimanapun, keberadaan vaksin tidaklah semudah yang disangka. Masih banyak faktor yang perlu dihadapi untuk mencapai satu tahap yang dipanggil oleh ramai pakar perubatan, imuniti kelompok.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), imuniti kelompok adalah satu bentuk perlindungan tidak langsung daripada penyakit berjangkit, ianya terjadi apabila sebahagian besar masyarakat sudah lali (immune) terhadap penyakit tersebut. Imuniti kelompok boleh dicapai samada melalui suntikan vaksin ataupun melalui pembentukan imuniti yang terhasil dari jangkitan penyakit. Walau bagaimanapun, WHO menyokong untuk mencapai imuniti kelompok melalui suntikan vaksin.

Untuk mencapai imuniti kelompok sebilangan besar penduduk perlu menerima suntikan vaksin. Berapa jumlah yang perlu divaksin? Ini berbeza mengikut jenis penyakit. Menurut WHO, untuk penyakit campak (measles), 95% daripada populasi perlu menerima suntikan vaksin untuk membentuk perlindungan daripada penyakit campak. Bagi penyakit polio, sekurang-kurangnya 80% daripada populasi perlu mendapat suntikan vaksin polio.

Bagi Covid-19, kerajaan Malaysia mensasarkan sekurang-kurangnya 80% daripada rakyat Malaysia yang layak untuk divaksin menerima suntikan vaksin Covid-19.

Lapan puluh peratus atau 23.6 juta penduduk di Malaysia perlu menerima suntikan vaksin Covid-19 ini. Walau bagaimanapun, selain dari masalah logistik, masalah penerimaan masyarakat terhadap vaksin juga adalah satu cabaran yang perlu dilalui dan ini banyak berkait dengan keyakinan.

Keyakinan masyarakat ini pula adalah suatu keadaan yang anjal (fragile), apatah lagi dalam keadaan pendemokrasian maklumat yang meluas. Ini menyebabkan masyarakat bebas untuk menerima dan membentuk fahaman tersendiri terhadap vaksin Covid-19. Natijahnya, penerimaan masyarakat terhadap vaksin dapat dibahagikan kepada tiga kelompok utama; kelompok yang menerima, kumpulan atas pagar dan kumpulan yang menolak.

Pembahagian ini pastinya menyukarkan usaha untuk mencapai imuniti kelompok yang disasarkan. Tinjauan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Disember 2020 mendapati hanya 67% penduduk Malaysia setuju untuk menerima vaksin, 17% pula tidak pasti dan 16% menolak untuk menerima vaksin.

KKM sekali lagi melakukan tinjauan pada bulan April 2021 dan mendapati peratusan penduduk Malaysia yang bersetuju untuk menerima vaksin meningkat kepada 85%, menolak vaksin hanya lima peratus dan baki 10% lagi masih tidak pasti.

Peningkatan ini mungkin didorong oleh keberkesanan kempen pengambilan vaksin serta adanya bekalan vaksin dalam negara. Jika melihat kepada statistik ini, maka Malaysia pastinya boleh mencapai sasaran imuniti kelompok.

Walau bagaimanapun, dalam satu tinjauan yang lebih kurang sama, tetapi khusus untuk masyarakat Sabah dan dijalankan pada Mac tahun ini, Unit Penyelidikan Komunikasi Pembangunan UMS-UNICEF mendapati bahawa hanya 50.3% daripada penduduk di Sabah bersetuju untuk menerima vaksin Covid-19.

Sejumlah 27% pula jatuh di bawah kategori atas pagar, manakala baki 22.7% menyatakan tidak akan menerima vaksin Covid-19. Angka ini selari dengan jumlah pendaftaran vaksinasi melalui MySejahtera. Sehingga 27 Jun, peratusan rakyat Sabah yang telah mendaftar hanya 29% atau bersamaan 851,764 daripada 2.9 juta penduduk Sabah yang layak untuk menerima vaksin. Jika ini berkekalan, sukar untuk negeri Sabah mencapai ambang nilai imuniti kelompok pada paras 80%.

Persoalannya, bagaimana untuk meyakinkan golongan yang menolak vaksin ini untuk kemudiannya bersetuju menerima vaksin tersebut? Dalam kajian tersebut, didapati bahawa  47% adalah mereka yang tergolong dalam kategori umur 18 – 29 tahun dan 53% pula adalah lelaki. Kelompok ini menolak vaksin kerana risau akan kesan sampingan vaksin (84%) serta merasa ragu akan kandungan dalam vaksin (79%).

Dalam penelitian yang lebih lanjut, didapati golongan yang menolak vaksin ini memiliki pemahaman yang rendah terhadap pembangunan vaksin, fungsi dan kandungan vaksin. Tahap kefahaman yang rendah ini menyumbang kepada mudahnya golongan ini dimanipulasi oleh individu lain yang memang menolak vaksin.

Kumpulan ini, walaupun menolak vaksin, tetapi mereka aktif mencari, berkongsi dan membincangkan maklumat tentang vaksin ini. Dalam masa yang sama, kelompok ini juga menyatakan bahawa mereka mempercayai maklumat dari kerajaan tentang vaksin ini.

Justeru, apa yang boleh dipelajari daripada profail kumpulan yang menolak vaksin ini? Kumpulan ini tidaklah menolak vaksin seratus-peratus. Penolakan dibuat kerana kurang kefahaman, mesej yang disampaikan atau mesej yang ada tidak dapat memenuhi kelompangan pemahaman mereka.

Sebab itu, mudah untuk gerakan dakyah anti-vaksin memanipulasi kelompangan tersebut. Hakikat betapa kumpulan ini masih meletakkan kepercayaan kepada maklumat berkenaan vaksin daripada kerajaan serta dalam masa yang sama aktif mencari, berkongsi dan berbincang maklumat berkenaan vaksin dengan rakan-rakan dan ahli keluarga memberikan sinar harapan.

Mesej terhadap golongan ini perlu dirangka untuk meningkatkan kefahaman mereka terhadap proses pembangunan vaksin, fungsi dan kandungan vaksin. Mesej haruslah datang dari pihak berkuasa, seperti KKM.

Selain dari penggunaan media massa untuk membawa mesej ini, penggunaan pendekatan komunikasi bersemuka juga harus dipergiatkan. Sesi dialog dalam program-program outreach oleh pemimpin kerajaan perlu dipergiatkan lagi.

Dua puluh tujuh peratus responden pula menyatakan mereka masih tidak pasti samada akan menerima atau tidak vaksin Covid-19 ini. Kumpulan ini dipanggil sebagai kumpulan atas pagar. Secara umumnya, pelajar adalah kumpulan majoriti (28%), diikuti oleh pekerja dari sektor swasta (25%) dan agak merisaukan, seramai 21.4% adalah kakitangan perkhidmatan awam. Lebih ramai wanita (59%) berbanding lelaki berada dalam kategori ini. Pelajar dalam konteks kajian ini merujuk kepada mereka yang berusia lebih daripada 18 tahun.

Sama seperti kumpulan yang tidak mahu menerima vaksin, kumpulan atas pagar ini juga risau akan kesan sampingan vaksin (79%). Keselamatan dan keberkesanan vaksin untuk mengekang virus Covid-19 adalah antara perkara yang dirisaukan oleh kumpulan ini.

Kumpulan ini sedar dan faham akan peranan, manfaat dan kesan sampingan vaksin, tetapi kurang memahami ataupun tidak pasti tentang pembangunan vaksin, fungsi dan kandungan vaksin tersebut. Pun begitu, kumpulan ini mempunyai sikap yang positif terhadap vaksin Covid-19.

Ini bermakna, sama seperti kumpulan yang menolak vaksin, kumpulan atas pagar ini juga masih ada kemungkinan yang baik untuk menerima vaksin. Penjelasan tentang proses pembangunan vaksin, kandungan dan fungsi vaksin perlu diberikan penekanan.

Pendekatan komunikasi bersemuka harus dipergiatkan untuk mengukuhkan lagi kefahaman serta mengurangkan kerisauan mereka. Sebagai contoh, sebuah NGO di Kinabatangan telah menganjurkan satu sesi dialog bersama pegawai kesihatan dan dihadiri oleh kesemua kakitangan NGO tersebut.

Banyak persoalan dan kerisauan berkenaan vaksin telah dapat dijawab dalam sesi tersebut. Diakhir sesi dialog, kebanyakan kakitangan NGO tersebut yang sebelum ini bersikap atas pagar bersetuju untuk menerima vaksin, malah seorang kakitangan yang sebelum itu menolak untuk menerima vaksin juga akhirnya setuju untuk mengambil vaksin.

Ini membuktikan, dengan sedikit pelaburan masa dan usaha untuk menjayakan proses komunikasi bersemuka yang berasaskan bukti iaitu memahami kerisauan kumpulan sasar dan sediakan jawapan yang mampu menjawab persoalan mereka akan dapat membantu mengubah persepsi dan pandangan terhadap vaksin Covid-19.

Malah persepsi negatif yang terbentuk sebelum ini pun adalah hasil daripada keterdedahan mereka kepada maklumat yang sampai lebih awal. Perang maklumat dengan strategi penyampaian yang berkesan, seperti menggunakan pendekatan komunikasi bersemuka adalah senjata ampuh yang boleh digunakan.

Walau bagaimanapun, peningkatan keyakinan masyarakat terhadap vaksin Covid-19 ini perlulah seiring dengan kebolehdapatan vaksin tersebut. Masih ramai yang telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera pada bulan Februari dan Mac yang masih belum menerima temujanji mereka.

Diakui, ini ada kaitan dengan bekalan vaksin yang belum mencukupi diterima oleh kerajaan. Justeru, dalam masa menunggu untuk mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi, usaha-usaha komunikasi bersemuka perlulah terus dilaksanakan agar momentum keyakinan masyarakat terhadap vaksin Covid-19 dapat dikekalkan.

SabahNewsToday

Penulis:

Dr Latif Lai adalah Ketua Unit Penyelidikan Komunikasi Pembangunan (C4D) UMS-UNICEF, dan Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS.