Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin sah menjawat jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA).
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, memegang jawatan berkenaan selepas menang tanpa bertanding pada Kongres Luar Biasa bagi tahun 2021 yang diadakan secara atas talian, hari ini.
Beliau dicalonkan oleh semua ahli gabungan membabitkan persatuan-persatuan bola sepak daerah di seluruh Negeri Sabah.
Turut menang tanpa bertanding untuk dua jawatan Naib Presiden SAFA, adalah Yang Berhormat (ADUN Dilantik) Datuk Suhaimi Nasir dan Datuk Dr. Jelani Hamdan yang juga Presiden Persatuan Rungus Sabah (SAMORA).
Bung Moktar dalam ucapannya berkata, beliau amat berterima kasih atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan semua Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan ahli gabungan SAFA untuknya memimpin badan sukan berkenaan.
Katanya, dengan kepercayaan yang diberikan, beliau akan berusaha bagi memastikan SAFA terus maju mencapai sasaran bukan saja di peringkat akar umbi tetapi juga peringkat kebangsaan.
“Walaupun agak berat, tetapi tiada yang mustahil dalam sukan ini, apa yang penting adalah komitmen semua pihak dalam usaha mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak di Sabah.
“Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengembalikan kepercayaan yang diberikan rakyat dengan meningkatkan mutu bola sepak Negeri Sabah,” katanya ketika berucap pada Kongres berkenaan secara atas talian, hari ini.
Mesyuarat atas talian berkenaan turut disertai Timbalan Presiden I, Datuk Abdul Rahman Zakaria dan Timbalan Presiden II, Datuk Nuil Juatim, Setiausaha Agung Benedict Asmat, Setiausaha Eksekutif David Wisom dan ahli majlis tertinggi lain serta penasihat undang-undang SAFA Azhier Farhan Arisin.
Bung Moktar berkata, SAFA terpaksa berdepan cabaran dan kesulitan berikutan penularan pandemik Covid-19 ketika ini
Namun katanya, sokongan berterusan semua pihak akan memastikan kejayaan dapat dicapai dalam memajukan sukan bola sepak Sabah.
“Sehubungan itu, saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Mudah-mudahan sekiranya pandemik Covid-19 ini dapat dihentikan, kita akan dapat menjalankan aktiviti seperti biasa dan seterusnya melakukan yang terbaik untuk bola sepak Negeri Sabah,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Benedict Asmat turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua perwakilan dari ahli gabungan SAFA atas komitmen untuk menghadiri mesyuarat Kongres Luar Biasa yang diadakan secara atas talian.
Katanya, usaha berterusan yang dilakukan ini akan memberi manfaat terutamanya kepada kemajuan bola sepak di negeri ini.
SabahNewsToday