JOHOR: Presiden Warisan, Shafie Apdal berkata, kerajaan sepatutnya membubarkan Parlimen sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU-15) sekiranya menginginkan sebuah kerajaan yang stabil.
Katanya, langkah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di peringkat negeri sebelum menjelangnya PRU15.
“Jika niat untuk membentuk sebuah kerajaan stabil, bubar sahaja Parlimen dan adakan PRU15. Mengapa hanya bubar di peringkat negeri.
“Kos untuk mengendalikan sebuah pilihan raya bukan sedikit malah menelan belanja besar. Langkah ini sudah tentu membazir wang rakyat terutama dalam keadaan rakyat memerlukan peluang pekerjaan untuk meneruskan kelangsungan kehidupan mereka,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam siri kempen bersama penduduk Pekan Nanas di sini malam ini.
Shafie berkata, dalam tempoh sama beliau berkesempatan berjumpa seorang bekas Juruterbang bekerja pemandu grab untuk meneruskan kelangsungan hidup menyara keluarga mereka.
Lebih membimbangkan adalah hampir setiap tahun graduan di peringkat Universiti menamatkan pengajian namun tidak mempunyai peluang pekerjaan.
“Ibubapa terpaksa berkorban wang ringgit dan sehingga bergadai tanah pusaka untuk memastikan anak mereka berjaya dalam pelajaran tapi menganggur selepas tamat pengajian,” katanya.
Menurut Shafie ini antara sebab mengapa Warisan yang berpangkalan di Sabah menyertai pilihan raya negeri (PRN) Johor dengan hasrat membentuk pembangkang kuat, namun sasaran parti adalah merampas kuasa di Putrajaya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Katanya, ada masalah di Johor yang tidak mampu diselesaikan kerajaan negeri, tetapi perlu ditangani di peringkat persekutuan, termasuk kenaikan harga makanan dan penutupan sempadan dengan Singapura.
“Sebagai contoh terdekat kita melihat rakyat Johor tersekat di Singapura, hidup di sana. Selama dua tahun, mereka tidak dapat pulang berjumpa dengan anak mahupun pasangan. Ini tidak dapat diselesaikan kerajaan negeri,” katanya.