ULU TIRAM (Johor): Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan mendapat mandat yang kukuh untuk menerajui kembali kerajaan negeri Johor.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kemenangan dalam PRN kali ini akan mengembalikan kegemilangan BN sebagai wadah buat rakyat bersandarkan kepada kepentingan dan kesejahteraan.
“Dizaman BN mengemudi Johor, kita melihat negeri ini adalah antara negeri yang maju di Malaysia dengan kemasukan pelaburan yang tinggi menjadikan Johor berkembang pesat maju dan ekonominya yang turut memberikan pulangan kemakmuran dan kesejahteraan untuk rakyat” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan khas jentera BN Sabah dan jentera BN Tempatan bersama calon-calon BN di sini baru baru ini.
Bagi menghadapi PRN kali ini, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah mengajak jentera parti BN agar sentiasa fokus dan tidak lalai apatah lagi terpengaruh dengan ungkapan yang cuba mengelirukan.
“Perjungan kita bukan seperti dakwaan pembangkang sebagai dahagakan kuasa sebaliknya fitrah sebagai parti politik mahu diyakini rakyat dan berjuang untuk kepentingan rakyat” katanya.
Bung yang juga Ketua Umno Sabah yakin kematangan pemikiran rakyat Johor yang melihat segala propaganda pembohongan dan kegagalan pembangkang mengurus tabir negara.
“Kita faham dalam modal kempen mereka (parti lawan) semasa PRN kali ini masih ada usaha memperlekeh kemampuan Umno bangkit.
“Mereka enggan menerima hakikat bahawa persepsi telah berubah dan rakyat tidak lagi boleh dipermainkan dengan ilusi dan propaganda yang diulang,” ujarnya.
Jelas beliau, realitinya pada waktu ini majoriti rakyat telah pun memperakui Umno tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu adalah angkara fitnah dan tipu daya.
Menurut Bung Moktar rakyat sedar segala dasar dan polisi pentadbiran oleh Umno dan BN terserlah tepat lagi telus ke arah kesejahteraan dan kemakmuran yang berpanjangan.