BLKM beri manafaat kepada 396 penduduk di Sook dan Nawawan

NABAWAN: Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) memberi manfaat kepada penduduk sekitar Sook dan Nabawan apabila 396 orang berusia 16 hingga 60 tahun memperoleh lesen menunggang motosikal kelas B2 melalui program itu hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Kurup juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata kawasan Parlimennya telah dipilih menjadi lokasi pertama di Sabah bagi menjayakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kementerian Pengangkutan itu melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata pemilikan lesen kelas B2 itu akan membantu masyarakat B40 di Sabah khususnya belia di Parlimen Pensiangan dengan membolehkan mereka mencari serta meningkatkan pendapatan melalui pekerjaan atau peniagaan melalui motosikal dan seterusnya meningkatkan sosio ekonomi setempat.

Pemberian bantuan lesen memandu ini adalah selari dengan usaha yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan ekonomi penduduk di kawasan ini,” katanya dalam kenyataan selepas merasmikan Majlis Penutup BLKM Peringkat Parlimen P.182 Pensiangan- Zon 1 Nabawan Bil 1/2022 di sini hari ini.

Sementara itu, Arthur percaya usaha meningkatkan ketersambungan perhubungan darat dan jaringan telekomunikasi adalah penting bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi untuk penduduk setempat.

“Antara usaha-usaha yang giat dilaksanakan merangkumi infrastruktur perhubungan darat seperti pembinaan jalan Sapulut ke Salung ke Pagalungan sehingga ke Pensiangan, Jalan Kampung Sinaron ke Kampung Linayukan di Tongod.

“Juga sedang diusahakan pembinaan baharu serta menaik taraf menara telekomunikasi bagi memperluaskan akses telekomunikasi di Parlimen ini,” katanya.

— BERNAMA