KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sudah menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memastikan berlakunya kekosongan ‘luar jangka’ membabitkan empat kerusi Parlimen di Sabah.
Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ini berhubung empat Ahli Parlimen didakwa ditandingi sebagai ahli Bersatu.
Katanya, permohonan itu sudah dibuat kepada Speaker supaya kekosongan itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari.
“Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin telah mengesahkan bahawa keempat-empat Ahli Parlimen itu adalah calon bertanding sebagai ahli Bersatu pada PRU15 merujuk kepada surat bertarikh 3 Nov daripada setiausaha Bersatu Sabah.
“Telah berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan melibatkan empat daripada ahlinya yang telah bertanding dalam PRU15 sebagai ahli parti Bersatu dengan menggunakan logo parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Keahlian mereka dalam GRS adalah sebagai anggota parti Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ronald yang juga Pengerusi Perhubungan Bersatu Sabah berkata, keempat-empat Ahli Parlimen berkenaan adalah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).