Belanjawan RM6.7 Bilion Dipersoal: Shafie Dakwa Kerajaan Hanya Sibuk Menjelang PRN

KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempersoalkan hala tuju Belanjawan Negeri Sabah 2025 berjumlah RM6.7 bilion yang dibentangkan kerajaan negeri, sambil mendakwa tiada ketelusan dalam penggunaan peruntukan besar itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu menjelaskan ke mana dana tersebut disalurkan, terutama hampir RM1 bilion yang diperuntukkan bagi kerja pembaikan jalan raya di seluruh negeri.

Mohd Shafie Apdal

“RM500 juta untuk baik jalan, RM600 juta pula geran dari Kuala Lumpur. Lima tahun mereka perintah, baru sekarang sibuk mahu kasi baik jalan. Kenapa bukan dari dulu? Takut kerajaan bertukar, nanti tidak dapat tuntut projek itu,” katanya ketika berucap di Pitas, hari ini.

Shafie turut mendakwa kerajaan negeri tidak merancang dengan baik apabila membentangkan Belanjawan 2025 di hujung tahun, sedangkan tarikh pilihan raya negeri semakin hampir.

“Bayangkan kalau penamaan calon 15 November, mengundi 29 November dan awal Disember sudah bentuk kabinet baharu. Bila masa mahu bentang Belanjawan 2026? Ini menunjukkan kerajaan sekarang tidak fokus kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap nasib penjawat awam dan rakyat sekiranya kerajaan gagal menyediakan pelan kewangan kukuh menjelang tahun depan.

“Bagaimana kalau berlaku bencana atau kemudahan awam rosak? Dari mana sumber untuk tampung? Jangan undi sebab RM200 atau RM500. Fikir masa depan anak dan cucu kita,” tegasnya.

Dalam pada itu, Shafie menggesa pengundi di Pitas – daerah yang dianggap antara termiskin di Sabah – untuk memberi peluang kepada Warisan membuktikan keupayaan mereka mentadbir negeri itu dengan lebih baik.