KOTA KINABALU: Geng Gurun yang diketuai bekas anggota tentera terlibat dalam 19 kes pecah rumah sejak enam bulan lalu tumpas apabila tertangkapnya ketua serta beberapa ahli kumpulan penjenayah tersebut.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah, berkata kesemua suspek berusia 33 hingga 62 tahun itu ditahan dalam beberapa siri tangkapan sekitar Kota Kinabalu sejak awal Februari.
Siasatan awal mendapati, ketua geng tersebut ialah lelaki berusia 34 tahun berasal dari Gurun, Kedah dan pernah bertugas sebagai anggota tentera sebelum dibuang kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Katanya berdasarkan siasatan awal kumpulan dikenaliGeng Gurun ini menjalankan kegiatan pecah rumah mewah sejak enam bulan lalu sekitar daerah ini, Penampang, Tuaran serta Kota Marudu.
“Kerugian akibat kes pecah rumah yang dilakukan oleh kumpulan penjenayah itu mencecah RM700,000.
“Geng penjenayah ini menyasarkan rumah mewah bagi mencuri pelbagai barangan berharga termasuk wang tunai, barang kemas, beg dan jam tangan berjenama, telefon bimbit, komputer riba, peti besi serta pistol.
“Modus operandi mereka adalah menyasarkan rumah mewah termasuk rumah orang kenamaan dengan bertindak memecah masuk melalui jendela atau melompat pagar semasa penghuni tidak berada di rumah.
“Barangan yang dicuri kemudian dijual di kedai pajak gadai sekitar daerah ini dan Kota Belud. Malah, barangan curi turut dijual kepada pembeli yang berada di Ampang, Selangor dengan menggunakan perkhidmatan penghantar barangan atau kurier,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah, hari ini.
Mohd. Zaidi berkata, pihaknya turut bertindak menangkap pembeli yang terlibat dan menemukan pelbagai barangan berharga lain yang dipercayai hasil curi susulan kegagalan suspek mengesahkan sumber barangan itu diperoleh.
“kesemua suspek ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Katanya, polis kini sedang memburu enam lagi rakan jenayah kumpulan berkenaan.