Bekas ADUN Kunak meninggal akibat COVID-19

KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Nilwan Kabang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19, awal pagi ini.

Berita Harian hari ini melaporkan,  Allahyarham yang dirawat di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu sejak awal bulan ini, menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.45 pagi tadi.

Nilwan, 71, yang juga Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah menjadi ADUN Kunak selama dua penggal bermula pada 2008 hingga 2018.

Beliau menang kerusi DUN Kunak pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan sekali lagi mempertahankan kerusi pada PRU 2013.

Bagaimanapun, beliau tewas kepada calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Norazlinah Arif pada PRU 2018 dan tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16, September tahun lalu.

Sepanjang karier politiknya, Allahyarham pernah menjadi Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman selepas menang PRU 2013.

Beliau juga adalah pemimpin politik veteran yang bermula dari era Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) sebelum menyertai UMNO apabila parti itu mengembangkan sayap ke Sabah pada 1990.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raimie Unggi, ketika dihubungi berkata pengebumian jenazah Allahyarham diuruskan Kementerian Kesihatan (KKM) dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu, Putatan, hari ini.