Bayi maut, lima cedera parah kemalangan di Kinabatangan

KINABATANGAN : Seorang bayi lelaki maut manakala lima lagi cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Paris Dua, Kota Kinabatangan di sini malam tadi.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan Penolong Pengusaha Bomba, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, bayi tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tercedera kemudian menghantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Terdapat enam mangsa terbabit tersepit di dalam Proton X50 manakala pasukan bomba bertindak mengeluarkan semua mangsa.

“Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Toyota Hilux yang dipercayai bertembung dengan Proton X50,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azlan Shah berkata, selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada 4.15 pagi tadi.