Bayi masih bertali pusat ditemukan di tepi jalan

SEMPORNA : Seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemukan berbalut dengan kain di atas rumput di Jalan Kampung Keramat, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Sabri Zainol berkata, bayi itu ditemukan masih hidup serta cukup sifat bersama tali pusat.

Katanya, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan itu kira-kira jam 1 petang daripada orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

“Orang awam menemukan bayi berkenaan di atas rumput tepi jalan, Kampung Keramat, Semporna.

“Mereka kemudiannya bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Mohd Sabr berkata, bayi seberat 3.1 kilogram itu kemudian terus dibawa ke Hospital Semporna untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan pegawai perubatan yang merawat mengesahkan tiada sebarang kecederaan yang dialami oleh bayi berkenaan.

“Bayi berkenaan kini ditempatkan di Hospital Semporna untuk pemantauan selanjutnya oleh doktor,” kata Mohd Sabri.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penemuan bayi ini boleh menyalurkan maklumat di talian IPD Semporna 089-782020 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Mohammad Hafizudin Akram Ghafar Ismail di talian 013-7557293,” jelas Mohd Sabri.