LAHAD DATU: Polis sedang mengesan ibubapa atau penjaga seorang bayi yang dipercayai baharu dilahirkan beberapa jam ditemui di bawah sebuah rumah di Kampung Dasar Baru di sini semalam.
Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, kejadian dilaporkan kira-kira jam 7.30 malam selepas pemilik rumah merupakan wanita tempatan mendengar tangisan seorang bayi serta suara anjing menyalak di bawah rumahnya.
Katanya, pemilik rumah bersama suaminya turun memeriksa di bahagian rumahnya mendapati seorang bayi bertali pusat ditemui dalam keadaan tertiarap di atas kawasan berlumpur.
“Ahli keluarga wanita terbabit kemudiannya bergegas menghantar bayi tersebut ke Hospital Lahad Datu untuk mendapat rawatan selanjutnya.
“Doktor mengesahkan bayi terbabit baru sahaja dilahirkan dalam tempoh tiga dan empat jam sebelum ditemui kemudian dilahirkan dalam keadaan pramatang iaitu berusia 28 minggu atau 7 bulan dengan seberat 1 kilogram,” katanya.
Rohan Shah berkata, setakat ini bayi tersebut masih dirawat di unit rawatan rapi Hospital Lahad Datu dan dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil.
Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu Kesalahan Ibu Bapa atau Penjaga yang bertanggungjawab ke atas kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah mendedahkan atau membuang kanak-kanak tersebut.
“Bagi kesalahan ini, jika disabitkan hukuman adalah penjara selama 7 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Rohan Shah berkata, pihak polis menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Aspalainah Mohd Zain di talian 0111-9019728 atau Balai Polis berhampiran.
SabahNewsToday