KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi kekal sebagai Presiden PKR selepas tiada pencabar apabila proses penyerahan borang pencalonan pemilihan parti bagi penggal 2022/2025 ditutup jam 11.59 malam tadi.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata ia mengulangi sejarah pemilihan PKR pada 2018 apabila Ketua Pembangkang itu menang tanpa bertanding.
“Mengulangi sejarah Pemilihan Keadilan 2018, Anwar sekali lagi menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini. Ini adalah penghormatan terbesar daripada akar umbi Keadilan.
“Saya dengan penuh takzim mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim,” katanya di Facebook.
Saifuddin pula berentap dengan Rafizi Ramli bagi merebut jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan kali ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Zaliha Mustafa ketika dihubungi memaklumkan Shamsul Iskandar Md Akin menjadi calon terakhir menghantar borang pencalonan bagi merebut jawatan Naib Presiden.
“Ya, beliau menjadi calon terakhir menghantar borang pencalonan secara atas talian beberapa minit sebelum pencalonan ditutup,” katanya kepada FMT.
Ketua Penerangan PKR itu menghantar borang pencalonan pada jam 11.46 malam, kira-kira 13 minit sebelum proses pencalonan tamat pada 11.59 malam.