Anak jati Sabah tinggal di Melaka perlu undi BN – Bung Moktar

MELAKA: Anak Sabah menetap di Negeri Melaka perlu bijak membuat pilihan sekali gus memilih Barisan Nasional (BN) menjelang pada  hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka esok.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, mereka diingatkan agar tidak tersalah pilih untuk masa depan Melaka selari dengan masa depan negara.

“BN mempunyai track record sebagai sebuah parti yang berupaya mentadbir negara bukan sahaja dari sudut kestabilan politik malah dapat mengurus ekonomi dengan sebaik mungkin.

“Oleh itu kita ajak anak Sabah tinggal di Melaka ini mesti memilih parti yang menjaga kebajikan rakyat selama menjadi peneraju negara..Pilihan terbaik pada PRN Melaka kali ini adalah BN,” katanya.

Beliau berkata demikikan dalam perjumpaan bersama pengundi berasal dari Sabah di sini semalam.

Bung Moktar berkata, mengikut rekod seramai 4,500 orang pengundi berasal dari Sabah mendaftar sebagai pemilih sah di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negeri Melaka.

Mereka adalah merupakan anak jati Sabah menetap di Melaka berkerja dalam pelbagai sektor kerajaan serta swasta selain berkeluarga serta tinggal di Melaka.

Bung Moktar yang juga Ketua Umno Sabah berkata, undi dari anak Sabah yang berada di sini dapat menentukan kedudukan kemenangan calon BN yang bertanding pada PRN Melaka ini.

“Anak Sabah yang mengundi di sini perlu membawa semangat perjuangan BN UMNO semasa PRN Sabah baru-baru ini sekali gus memastikan kemenangan mutlak kepada BN esok,” katanya.