Amaran ribut petir, hujan lebat di pantai timur, Sabah

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa bahagian di pantai timur serta Sabah dan Sarawak hari ini.

MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook berkata, cuaca buruk tersebut dijangka berlaku sehingga jam 1 tengah hari nanti.

“Di Sarawak membabitkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah sementara Sabah di Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Kinabatangan, Kudat, dan Pitas,” kata MetMalaysia.

MetMalaysia berkata, amaran berkenaan dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.