SANDAKAN: Kesihatan pergigian yang baik mampu meningkatkan kualiti kehidupan seharian sekali gus struktur seharian dapat terperlihara dengan sebaiknya.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, penjagaan gigi yang baik juga membolehkan aktiviti makan, bertutur, tidur, tumbesaran serta gangguan emosi serta kehidupan sosial dapat dikekalkan tahap kesihatannya.
Menurutnya, keadaan kesihatan pergigian memainkan peranan penting untuk kesihatan badan secara keseluruhannya.
“Oleh itu, penjagaan kesihatan gigi seharusnya diambil berat oleh seluruh masyarakat tanpa mengira usia,” katanya di sini hari ini.
Suhaimi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (Dilantik) percaya program ini dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan mulut.
Ketika berucap merasmikan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian 2023 Kawasan Sandakan di Pasaraya Mydin Sandakan hari ini beliau menyeru agar orang ramai mengutamakan kesihatan gigi dalam kehidupan sehari mereka.
“Satu kajian dijalankan di Sarawak menyimpulkan mereka yang mengamalkan kebersihan mulut yang baik, kerap berjumpa dengan doktor gigi dan mempunyai amalan pemakanan yang baik.
“Mereka ini mempunyai risiko lebih rendah untuk mendapat karies gigi berbanding dengan mereka yang mempunyai amalan kebersihan mulut yang kurang baik,” katanya.
Menurutnya, meskipun kejadian karies gigi boleh dicegah, ia adalah jangkitan kronik yang masih mempunyai prevalans yang tinggi di serata dunia.
Suhaimi berkata, ia adalah beban untuk servis jagaan kesihatan kerana rawatan untuk penyakit mulut ini adalah sangat mahal.
“Menurut kajian WHO 2003, Sebanyak 5 hingga 10% telah dibelanja untuk rawatan ini daripada jumlah perbelanjaan dalam penjagaan kesihatan di negara industri.
“Saya mengharapkan kita akan lebih menitik beratkan kesihatan mulut dan mengambil bahagian di dalam aktiviti yang dijalankan pada hari ini bakal supaya boleh mendapat informasi dan pendekatan yang betul dalam menjaga kesihatan gigi kita,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan serta mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak Klinik Pergigian Sandakan yang telah berusaha menganjur program yang berfaedah kepada penduduk di Kawasan Sandakan.
“Adalah menjadi harapan saya agar program yang berfaedah seperti ini akan diteruskan setiap tahun pada masa akan datang untuk warga Sandakan.
“Semoga setiap apa yang diusahakan akan mendapat keberkatan dan beroleh kejayaan dan seterusnya mencapai matlamatnya,” katanya.