TAWAU: Masyarakat disaran agar menjadikan aktiviti sukan sebagai budaya serta amalan harian ke arah gaya hidup lebih sihat.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, aktiviti sukan merupakan platform kecergasan fizikal yang dapat memberi banyak manfaat untuk kesihatan diri sendiri.
Katanya, ia juga turut memberikan manfaat kepada negara dan negeri ini kerana rakyatnya sentiasa sihat dan cergas.
“Sukan adalah cara terbaik untuk membantu meningkatkan kesihatan diri dan kesejahteraan semua masyarakat selain mampu menyumbang ke arah meningkatkan produktiviti kerja.
“Saya sarankan seluruh rakyat dapat meluangkan masa menjalankan aktiviti bersukan, bersenam dan beriadah bagi mengekalkan kesihatan fizikal dan mental kita,” katanya di sini hari ini.
Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, melalui sukan juga dapat menghindarkan diri seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang tidak sihat.
“Saya mengharapkan rakyat di negara ini meluangkan masa harian dengan perkara yang berfaedah termasuklah melakukan aktiviti riadah dan bersukan.
“Saya difahamkan banyak aktiviti yang diadakan sempena HSN di sini dan ia sudah pasti dapat memberi kesedaran tentang pentingnya menjaga kesihatan,” jelas Nizam.
Menurutnya, semua pihak perlu memberikan sokongan dan dokongan terhadap sambutan HSN ini kerana ia merupakan satu kempen kesihatan yang sangat berkesan.
