Amalan Tradisi Rumah Terbuka Hari Raya perlu dikekalkan – Liew

TAWAU: Sambutan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di negeri ini memperlihatkan kehadiran kepelbagaian kaum dan bangsa bagi melengkapkan elemen perpaduan dalam konsep Malaysia Madani.

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Tan Sri Liew Yun Fah berkata, budaya menghadiri rumah terbuka dalam perayaan masyarakat ini masih dijadikan agenda dalam memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

“Kita akan kekalkan keamanan seperti ini. Ia penting bagi memastikan kemakmuran dan kestabilan tercapai sekali gus kita hidup aman damai untuk memakmurkan ekonomi di negeri Sabah.

“Inipatinya perpaduan kaum, selaras apa yang direncanakan menerusi konsep Malaysia Madani oleh Perdana Menteri ke-10,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Rumah Terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal, di Taman Ria Satu dan Dua di Tawau.

Liew berkata, sambutan pada tahun ini diraikan dalam suasana muhibah serta harmoni seperti yang telah diamalkan sejak sekian lama.

Beliau mengharapkan amalan ini perlu dikekalkan serta menjadi amalan setiap kali menjelang musim perayaan besar di negara ini.

“Perbezaan budaya, serta agama antara kaum perlu dijadikan asas kukuh perpaduan di Sabah kerana ia merupakan keistimewaan dan kelebihan untuk merapatkan hubungan dan bukannya untuk memisahkan antara satu sama lain,” katanya.