AKEPT-UMS SDG Leadership Hadirkan Kelainan Dalam Pemindahan Ilmu

Tulisan, DR JAKARIA DASAN, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, UMS

Dr Jakaria Dasan

Pengendali bersama Program SDG Leadership AKEPT-UMS

Strategi pemindahan ilmu dan perkongsian ilmu, merupakan salah satu daripada strategi Kementerian Pendidikan Tinggi di bawah teraju Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi menyokong kerangka besar Ekonomi MADANI.

Asas kepada strategi ini adalah bagaimana segala ilmu yang dihasilkan dalam bentuk penyelidikan di menara gading itu dapat dipindahkan menerusi perkongsian ilmu yang disukai atau diterima oleh komuniti.

Gambar Kenangan selepas majlis perasmian.

Bagi menjayakan hasrat merakyatkan ilmu ini maka sudah tiba masanya untuk para ilmuwan di menara gading untuk memikirkan kaedah yang lebih efektif memindahkan ilmu kepada kumpulan sasar.

Lebih tepat lagi, ahli-ahli komuniti yang berada di kawasan luar bandar. Jika selama ini perkongsian ilmu lebih cenderung menggunakan hotel-hotel lima bintang, maka mari kita halakan pula ke dewan-dewan serbaguna di kampung-kampung nun jauh di sebalik bukit bukau dan lembah menghijau.

PM Dr Fatimah Ahmedy dan Dr Jakaria Dasan membuat perbincangan awal dengan pimpinan di tiga buah kampung pada bulan September 2023.

Daripada berasa selesa dengan sejuknya penghawa dingin, mungkin lebih sihat jika dapat merasai kedinginan serta menghirup udara bersih dan nyaman dari alam semulajadi di kampung.

Bustamam Daud, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Kepimpinan AKEPT menyantuni peserta.

Berinteraksi dengan penduduk kampung khususnya kumpulan sasar yang memerlukan ilmu berkaitan pasti lebih mengujakan daripada berbengkel berjam-jam hanya untuk mencari solusi demi solusi yang bersifat sementara dan belum tentu sesuai dengan permasalahan sebenar di lapangan.

Atas kesedaran inilah maka program SDG Leadership tercetus yang dijadikan oleh Akademi Kepimpinan Tinggi (AKEPT) sebagai salah satu daripada strategi melatih para pensyarah mengenai kaedah pemindahan ilmu yang lebih berkesan dan bersifat lestari. Menerusi SHARE Model for Leaders, yang diasaskan oleh Prof Madya Dr. Fatimah Ahmedy dan Dr. Jakaria Dasan, dari UMS, program ini telah dilangsungkan secara berperingkat sebanyak tiga kohot.

Antara program yang dilaksanakan.

Kohot pertama dilangsungkan pada Mei 2022 dan Kohot kedua pada Mei 2023. Kohot ketiga menitikberatkan kepada kepimpinan para pensyarah dalam menyampaikan ilmu dan dikenali sebagai SDG Leadership: Training of Trainers.

Ianya telah diadakan bermula dari 14 November hingga 17 November yang lalu bertempat di tiga buah kampung secara serentak di Kiulu. Kampung-kampung berkenaan ialah Kampung Ratau, Kampung Lokub dan Kampung Talantang. Kampung-kampung ini terletak jauh di kawasan luar bandar dan para peserta seramai 21 orang yang terdiri dari pelbagai universiti awam dan politeknik tinggal dalam homestay berhampiran di kampung-kampung tersebut.

Para pensyarah di bahagikan kepada tiga kumpulan (tiga kampung) yang turut disertai oleh ahli-ahli komuniti berkaitan.

Sesi penerangan bersama peserta sempena program tersebut.

Perjalanan yang jauh dan sukar ke kampung berkenaan khususnya Kampung Talantang memberi pengalaman bermakna kepada para pensyarah terlibat yang turut merasai denyut nadi kesukaran hidup rakyat yang berada di sana.

Tetapi disebabkan jiwa besar mereka dan ilmu yang diperlukan oleh komuniti berkenaan, segala kepayahan tidak diendahkan.

Terdahulu iaitu dua bulan sebelum program ini dilaksanakan, Dr. Fatimah dan Dr. Jakaria selaku pengendali dan pembina modul program telah berjumpa dengan pimpinan di ketiga-tiga buah kampung termasuklah ahli-ahli komuniti bagi mendapatkan maklumat berkenaan aktiviti sosio-ekonomi yang dilakukan di ketiga-tiga komuniti ini.

Daripada perbincangan tersebut, beberapa dapatan mengenai ilmu yang diperlukan telah dikenalpasti dan ditawarkan kepada para pensyarah berkepakaran termasuklah dari Kohot 1 dan Kohot 2.

Berlandaskan kepada objektif mewujudkan kepimpinan dalam kalangan pensyarah untuk menjalankan aktiviti libatsama masyarakat yang berjaya dan berimpak bila kembali kelak ke Universiti masing-masing, maka solusi telah dibuat menerusi kaedah penyampaian yang mudah difahami oleh ahli-ahli komuniti.

Nasihat fasilitator yang terdiri daripada Prof Dr Haslan Abu Hasan (pengasas Knowledge Transfer Program), Prof Dr Mansor Abu Talib (Pengasas University for Society), Allahyarham Prof Dr Zakaria Abas (pengasan Knowledge Transfer Program), dan Prof Dr Saleh Abdul Rashid (Konsultan modul kepimpinan AKEPT) telah memperkasakan lagi modul yang digunakan. Penyelarasan program ini turut dilaksanakan bersama dengan kerjasama En Mejin Maginggow, Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu dan ahli-ahlinya.

Selain memindahkan ilmu yang relevan dengan kepakaran masing-masing, para pensyarah juga dapat mempelajari beberapa ilmu baharu dari ahli-ahli komuniti.

Hal ini menjadikan interaksi pemindahan ilmu itu menjadi suatu sesi perkongsian ilmu yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Banyak ilmu baharu bakal mereka inovasikan lagi sekembalinya ke universiti kelak untuk kemudiannya dipulangkan kembali kepada masyarakat.

Program ini turut mendapat sokongan padu Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai yang juga merupakan Pembantu Menteri kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Dalam ucapannya disampaikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Kiulu Golubi Guntarik, beliau amat tertarik dengan konsep pemindahan ilmu yang dilakukan oleh para ahli akademik yang sanggup berkampung bersemuka dengan ahli-ahli komuniti selama empat hari tiga malam dari awal pagi sehingga ke lewat malam memindahkan ilmu.

“Ahli-ahli komuniti perlu memanfaatkan ilmu yang dikongsikan sebabnya bukan mudah untuk profesor dan doktor yang datang dari jauh dari beberapa universiti awam dan politeknik ini meninggalkan keselesaan mereka berada bersama tuan-tuan dan puan-puan. Demi untuk melihat ahli-ahli komuniti lebih berjaya dalam perusahaan masing-masing.” Datuk Joniston Bangkuai.

Prof Datuk Kasim Mansor, Naib Canselor UMS, dalam ucapannya yang disampaikan oleh Profesor Ir. Dr Rosalam Sarbatly, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, menegaskan bahawa UMS sebagai satu-satunya universiti awam yang ditubuhkan di negeri ini, amat komited untuk bergerak bersama dengan kerajaan negeri Sabah dalam meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat di kawasan luar bandar Sabah menerusi pemindahan ilmu yang bersesuaian yang ada di UMS.

Universiti adalah menara gading yang di dalamnya terdapat pelbagai ilmu yang masih belum sepenuhnya dimanfaatkan untuk membangun dan meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat. Dengan kata lain, walaupun menaranya tersergam indah, gadingnya belum dirasai sepenuhnya oleh rakyat. Langkah AKEPT bersama UMS mewujudkan SDG Leadership ini adalah suatu usaha yang sangat tinggi nilainya kepada komuniti.

Ketika kumpulan peserta AKEPT-UMS ini hendak berangkat balik ke Kota Kinabalu, Unus, Paulus dan Baxter (Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi JPKK Ratau, Lokub dan Talantang) sempat mewakili masyarakat mereka mengharapkan agar kesemua 21 orang pensyarah yang memindahkan ilmu untuk datang berkunjung semula ke kampung mereka untuk melihat sendiri impak yang telah mereka perolehi selama 4 hari 3 malam.