KUALA LUMPUR: Keputusan berkaitan beberapa orang ahli daripada Sabah yang melompat parti baru-baru ini tetapi tidak dianggap melompat parti oleh Speaker Dewan Rakyat, menunjukkan terdapat keperluan untuk memperjelaskan proses berkenaan bagaimana Speaker mencapai pertimbangan dalam membuat keputusan.
Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ini penting supaya Speaker sentiasa berpandukan undang-undang serta nasihat terutama daripada Jabatan Peguam Negara.
“Ini penting untuk antara lain melindungi Speaker daripada persepsi negatif dan akan dikatakan bertindak secara bias serta berpihak kepada mana-mana pihak. Lebih-lebih lagi Speaker membuat keputusan solely on his discretion.
“Perlu diberi penekanan bahawa keadaan sebegini akan terus berulang pada masa-masa akan datang, memandangkan insiden lompat parti secara lazimnya berlaku dari pihak pembangkang ke Kerajaan dan bukan sebaliknya dan Speaker juga walaupun dipilih secara undi adalah juga Speaker yang dicalonkan oleh Kerajaan,” katanya.
Ronald berkata demikian pada ucapan perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan DiRaja pada mesyuarat pertama penggal kedua di Dewan Rakyat, kelmarin.
Menurutnya akta anti lompat parti itu sebenarnya adalah dalam bentuk pindaan perlembagaan, secara spesifiknya adalah Akta Perlembagaan (Pindaan) No. 3 2022 [Akta A1663] iaitu pindaan kepada Perkara 10, Perkara 48, Perkara 160, Jadual Ke8 dan memasukkan Perkara 49A yang baharu berkenaan kehilangan kerusi bagi mana-mana ahli yang meletak jawatan sebagai ahli parti atau tidak lagi menjadi ahli parti politik atau sebagai ahli bebas dia menjadi ahli sesuatu parti.
Katanya pindaan ini adalah sangat baik namun apabila kita melihat kepada pelaksanaan pindaan itu dalam real life situation, terdapat beberapa perkara yang perlu kita tambah baik. Antaranya Fasal (1) Perkara 49A bagi menentukan kehilangan kerusi hendaklah ditentukan oleh Speaker.
“Hal ini tentu sekali memerlukan suatu garis panduan yang jelas kerana Perkara 49A hanya bersifat skeleton instruction, dengan izin, yang mana ia perlu dijadikan suatu mekanisme dalam suatu instrumen undang-undang bertulis bagi membantu speaker dalam membuat keputusannya,” katanya.
Justeru, Ronald berkata keadaan konflik ini akan sentiasa wujud dan perlu diperbetulkan supaya keputusan berkenaan kedudukan kerusi di Dewan Rakyat ini dibuat dan dilihat dibuat secara adil dan berkecuali.
“Saya mencadangkan agar Dewan Rakyat boleh mempertimbangkan salah satu daripada tiga perkara yang berikut sebagai instrumen undang-undang untuk membimbing pertimbangan Speaker dalam menentukan sama ada suatu tindakan itu adalah lompat parti atau tidak, iaitu:
a) Pertama, menggubal Akta Lompat Parti yang berdiri secara dengan izin, stand alone atau berasingan dan bukan lagi bergantung semata-mata kepada Perkara 49A sahaja dengan memasukkan keperluan supaya Speaker mendapatkan pandangan Dewan yang mulia ini; atau
b) Kedua, meminda Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dengan memasukkan fasal atau bab berkenaan dengan prosiding penentuan kehilangan kerusi dengan menyatakan tempoh masa untuk notis, rayuan dan sebagainya; atau
c) Ketiga, mewujudkan suatu Jawatankuasa Bebas yang diberikan kuasa untuk menyiasat sama ada betul atau tidak suatu kejadian kehilangan kerusi telah terjadi yang mana laporan Jawatankuasa itu boleh dikemukakan kepada Speaker untuk membantu Speaker membuat keputusan.
Ronald berkata kesemua ini adalah merupakan antara inisiatif bagi membantu Dewan Rakyat dan secara khususnya membantu Speaker dalam membuat pertimbangan yang tepat dan dapat dilihat telus dan berkecuali dan mengelak daripada merujuk kes-kes begini kepada Mahkamah.