Ahli Majlis Daerah Perlu Aktif, Berintegriti Menyokong Dasar Pembangunan Negeri – Hajiji

TUARAN : Ahli Majlis Daerah (AMD) perlu memainkan peranan penting serta berintegriti dalam menyokong pelaksanaan dasar pembangunan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beliau. menekankan AMD bukan sekadar penyambung suara rakyat, tetapi juga perlu menjadi agen pelaksanaan berkesan kepada inisiatif kerajaan.

Hajiji memalu gong sebagai simbolik perasmian.

Katanya, mereka juga perlu lebih proaktif dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat khususnya Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“”Ahli Majlis Daerah perlu dilengkapkan dengan ilmu serta kefahaman mengenai fungsi, peranan dan tanggungjawab mereka.

“Ini penting untuk memudahkan pelaksanaan agar dasar kerajaan dan menyampaikan bantuan serta program pembangunan kepada rakyat dengan cekap dan telus,” katanya.

Hajiji berkata, keberhasilan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ bergantung kepada komitmen semua pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan AMD.

“Mereka perlu berganding bahu bersama kerajaan negeri dalam menyebarluaskan maklumat dasar, inisiatif serta bantuan kerajaan hingga ke peringkat akar umbi.

Hajiji menyampaikan Watikah Pelantikan sebagai Ahli Majlis Daerah Tuaran.

“Kita senaraikan beberapa inisiatif pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di daerah Tuaran,” jelas Hajiji.

Menurutnya, antaranya termasuk naik taraf infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, pembangunan pelancongan serta pengukuhan keusahawanan tempatan.

“Sebesar mana pun peruntukan pembangunan, ia tidak akan memberi makna tanpa penyampaian yang cekap.

“Ahli Majlis perlu turun padang, melihat sendiri isu-isu rakyat dan bertindak dengan penuh integriti, ikhlas dan telus,” katanya.

Beliau turut menyeru semua AMD supaya memainkan peranan sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan, membawa suara rakyat ke peringkat pentadbiran.

“Ini bagi memastikan setiap dasar dan program kerajaan difahami dan diterima oleh masyarakat.

“Pelantikan AMD Tuaran kali ini terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk bekas penjawat awam, ahli perniagaan, tokoh belia serta wakil badan bukan kerajaan,” tambahnya.

Katanya, kepelbagaian ini diyakini sebagai kekuatan dalam merangka dasar dan menangani keperluan rakyat secara menyeluruh.

“Saya yakin dengan iltizam yang tinggi dan semangat kerja berpasukan, AMD mampu menggalas amanah ini demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat Tuaran,” katanya.