Agensi Agama prihatin Keluarga Malaysia

PUTATAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad menegaskan komitmen kementeriannya menggerakkan agensi agama sebagai pemudahcara keperluan rakyat.

“Saya dalam mesyuarat bersama agensi agama di bawah kementerian mengingatkan agar membantu rakyat dalam keadaan musibah.

“Ada agensi yang memberi peruntukan untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan menerusi YAPEIM, membantu rakyat yang terjejas dan kurang pendapatan, dengan bantuan kewangan menerusi Pusat Zakat,” katanya.

Idris yang juga merupakan Naib Presiden PAS berkata, mengingatkan untuk tempoh terdekat bantuan program ‘Back To School’ untuk sesi persekolahan 2022 di seluruh Malaysia bagi anak-anak pelajar terpilih yang kurang berkemampuan.

Beliau berkata demikian semasa pertempuan khas bersama kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Sabah dan bersama ahli-ahli di sini kelmarin.

Dalam program sama beliau turut mengingatkan hadirin agar menjadi penyebar maklumat program kerajaan agar terus sampai kepada rakyat.

“Ruang dakwah kita menjadi luas, selain kita ada media massa, zaman sekarang kita ada media sosial yang dikuasi anak-anak muda,” katanya.

Program ini dihadiri Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling dan Setiausahanya, Dr. Aliakbar Gulasan.