ADUN Sindumin Hadir Beri Keterangan Selama Empat Jam Di Pejabat SPRM Sabah

KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob di sini hari ini.

Dr Yusof merupakan Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad hadir memberi keterangan selama empat jam di pejabat SPRM Negeri Sabah di sini hari ini.

Menurut sumber, selepas ADUN Sindumin tersebut memberi keterangan kepada pihak SPRM, beliau dilaporkan dilepaskan dengan jaminan. 

Dr Yusof dipanggil untuk memberi keterangan dan hadir di pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 8.45 pagi hari ini.

Beliau kemudiannya dilihat meninggalkan pejabat SPRM di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, pada jam 12.30 tengah hari.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan tiga individu termasuk dua ADUN Sabah akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat berhubung dengan siasatan Op ADUN.

Beliau yang ditemui media semalam selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Teknologi dan Pengurusan Lestari (ICTMS) 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kota Kinabalu mengesahkan perkara itu.

Katanya, SPRM dalam proses untuk menjalankan tangkapan dan memaklumkan individu terbabit mengenai tarikh hadir ke mahkamah.

Bagaimanapun Azam berkata, tarikh pendakwaan bergantung kepada tarikh yang akan ditetapkan kerana Mahkamah Rasuah di Sabah ada tarikh-tarikh tertentu.