ADUN Bingkor, Nafi Terlibat Skandal Perlombongan, Anggap Fitnah Bermotif Politik

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik menafikan dakwaan mengaitkan beliau dengan permohonan lesen carigali mineral serta penerimaan sebarang bentuk dana berkaitan kegiatan itu.

Beliau merupakan Pembantu Menteri Kerja Raya menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah bermotifkan politik, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin hampir.

Katanya, beliau tidak pernah terbabit dalam sebarang permohonan lesen perlombongan atau penerimaan sebarang bentuk dana berkaitan kegiatan itu.

“Tuduhan ini tidak berasas dan berniat jahat. Ia cubaan terdesak untuk memburukkan imej saya serta mencalar reputasi kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Robert menegaskan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan.

“Sebagai pemimpin, saya tetap komited dan fokus untuk menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat. Saya tidak akan terpengaruh atau terganggu dengan serangan politik tidak beretika ini,” tegasnya.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya tidak menjadikan fitnah sebagai alat politik, sebaliknya berpolitik secara matang dan bertanggungjawab demi kepentingan Sabah secara keseluruhan.