KOTA KINABALU: “Jangan tunggu sekolah runtuh, murid cedera atau nyawa melayang baru mahu bertindak.”
Itu peringatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook yang menyifatkan kelewatan projek pembinaan sekolah di Sabah sebagai isu serius yang tidak boleh terus dipandang ringan.
Beliau berkata, walaupun beberapa projek telah diluluskan di bawah RMK-12, pelaksanaannya masih belum bermula sehingga ada sekolah terpaksa menumpang di sekolah lain.
Menurutnya, Sabah masih bergelut dengan masalah sekolah daif, kekurangan bilik darjah dan kemudahan yang tidak mencukupi.
Beliau menggesa Kementerian Pendidikan menjelaskan status semua projek tertangguh serta mempercepat pelaksanaannya demi kepentingan pendidikan anak-anak Sabah.
