KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan sebanyak RM600 juta daripada Pemberian Khas RM1.5 bilion kepada Sabah telah disalurkan pada 12 Jun 2026.
Menurut jawapan bertulis kementerian itu di Dewan Rakyat, baki RM900 juta akan dibayar selepas Perintah Pemberian Khas baharu diwartakan selaras dengan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Jawapan itu diberikan kepada Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang meminta penjelasan mengenai pembayaran interim RM1.5 bilion serta pelaksanaan formula 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah.
MOF berkata, rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah masih diteruskan bagi merumuskan kaedah baharu menentukan amaun Pemberian Khas pada masa depan dengan mengambil kira keperluan kewangan negeri dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
