Tiga didenda RM331,000 curi, jual bekalan elektrik haram

KOTA KINABALU: Tiga individu didenda keseluruhan RM331,000 selepas didapati bersalah atas pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan mencuri dan menjual bekalan elektrik secara haram di penempatan setinggan di Sandakan.

Pendakwaan dilakukan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) susulan Operasi Bersepadu yang dijalankan pada 1 hingga 3 Julai lalu.

Mahkamah menjatuhkan denda RM129,000 terhadap Sumailah bin Cuba, RM194,000 terhadap Zaini bin Mubin dan RM8,000 terhadap Ahmad Safuan Baharuddin.

Dua pesalah bukan warganegara turut diperintahkan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi tindakan pembatalan dokumen dan pengusiran selepas menjalani hukuman.

ECoS memaklumkan sebanyak 36 lagi kes sedang diproses untuk pendakwaan.