BEAUFORT: Pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi diingatkan supaya tidak menjadi penyebar berita palsu, sebaliknya berperanan sebagai penyampai maklumat yang sahih bagi memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan fitnah dan maklumat mengelirukan.
Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Awang Kadin Tang berkata, pemimpin akar umbi merupakan individu paling hampir dengan rakyat dan menjadi rujukan utama dalam menjelaskan dasar serta agenda pembangunan kerajaan.
Menurutnya, ledakan media sosial menyebabkan pelbagai maklumat yang belum dipastikan kesahihannya mudah tersebar sehingga boleh mencetuskan salah faham serta menggugat perpaduan.
“Pemimpin masyarakat perlu menjadi ejen penyampai maklumat yang bertanggungjawab. Jangan sesekali berkongsi maklumat yang tidak disahkan.
“Berita palsu dan fitnah bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah boleh merosakkan keharmonian masyarakat serta menjejaskan keyakinan terhadap institusi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penangguhan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Peringkat Komuniti di Dewan Pa Musa, Beaufort, pada Selasa.
Seramai kira-kira 900 peserta terdiri daripada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung, Pengerusi dan Setiausaha JKKK, JKDB serta pemimpin masyarakat menghadiri seminar anjuran bersama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan UPPM Sabah.
Awang Kadin berkata, aspirasi Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya hanya mampu direalisasikan sekiranya pemimpin masyarakat terus berintegriti, berwibawa serta menjadi jambatan kukuh antara kerajaan dan rakyat.
