KENINGAU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan, Datuk Victor Peter Paut mengumumkan pemberian satu kanopi bagi setiap mukim di daerah Tambunan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan.
Victor berkata, inisiatif itu bertujuan meringankan beban komuniti selain mengurangkan kos penganjuran program di peringkat kampung, termasuk acara kebudayaan, keagamaan dan kemasyarakatan.
“Kita menyokong pelaksanaan program masyarakat serta mengukuhkan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan penduduk Tambunan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, program itu telah dilaksanakan sejak 2024, namun mukim yang masih belum menerima sumbangan berkenaan boleh menghubungi Pejabat PGRS N39 Tambunan untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, daerah Tambunan mempunyai tujuh mukim iaitu Sunsuron, Kirokot, Patau, Lintuhun, Monsorulung, Nambayan dan Toboh yang merangkumi 77 kampung.
Victor yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd berharap kemudahan itu dapat dimanfaatkan bagi memperkukuh hubungan masyarakat serta menggalakkan lebih banyak aktiviti komuniti di seluruh daerah berkenaan.
