KOTA KINABALU: Wira Warisan Sabah menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap dakwaan pemberian wang yang dikaitkan dengan urusan mendapatkan lesen carigali mineral di Sabah.
Naib Ketua Wira Warisan Sabah, Mohd Khairuddin Daud berkata, laporan polis dibuat di Balai Polis Karamunsing susulan dakwaan yang dikemukakan Albert Tei menerusi satu temu bual podcast dan kenyataan yang turut disiarkan media.
Beliau berkata, dakwaan berkenaan perlu disiasat secara profesional, bebas dan menyeluruh bagi memastikan fakta sebenar dapat diperoleh.
Katanya, laporan polis itu bukan bertujuan menjatuhkan hukuman terhadap mana-mana individu, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan berdasarkan bukti.
Beliau turut menggesa PDRM, SPRM serta Kerajaan Negeri Sabah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan dan pentadbiran negeri terus terpelihara.
