KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun di sebuah tapak pembinaan di belakang bilik pameran kenderaan di Iramanis, awal pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt. Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 1.40 pagi sebelum laporan polis dibuat pada jam 2.23 pagi.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar bersama suspek untuk minum minuman keras di Penampang sebelum mereka pulang ke rumah kongsi kira-kira jam 11 malam.
“Pertengkaran dipercayai berlaku akibat salah faham ketika kedua-duanya berada dalam keadaan mabuk. Mangsa dipercayai memukul suspek menggunakan sebatang kayu sebelum suspek bertindak menikam mangsa sebanyak empat kali menggunakan pisau pemotong sayur,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, suspek dipercayai melarikan diri selepas kejadian, manakala mangsa ditemui di dalam sebuah lubang pembetung berhampiran lokasi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan usaha mengesan suspek serta senjata yang digunakan sedang giat dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Syed Abdul Rahman Syed Mohsin di talian 012-310 6882 atau tampil ke balai polis berhampiran.
