Urus niaga diesel tanpa lesen, lelaki didenda RM10,000

KOTA KINABALU: Seorang lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menjalankan urus niaga minyak diesel tanpa lesen yang sah.

Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, tertuduh, Abdul Salam Ismail, 36, didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah menemukan 186 liter diesel di dalam sebuah tangki IBC yang dibawa menggunakan Toyota Hilux Rocco.

Katanya, mahkamah turut memerintahkan diesel dan barang sitaan dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia sebagai langkah membanteras penyelewengan barang kawalan.