TULID: Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid menegaskan pendirian untuk menolak kehadiran parti yang hanya ‘timbul’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya mahu rakyat Tulid terus bersama kepimpinan yang konsisten memperjuangkan nasib mereka.
Ahli Dewan Belia Sabah, Amran Jining, berkata pihaknya yakin PBRS mempunyai kekuatan akar umbi dan hubungan rapat dengan masyarakat setempat, berbeza dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hanya muncul apabila musim pilihan raya semakin hampir.
“Tulid mesti kekal menjadi rumah kepada PBRS. Kami tidak mahu parti luar datang menabur janji bulan bintang tanpa memahami realiti hidup rakyat pedalaman,” katanya.
Menurutnya, PKR tidak mempunyai asas kukuh di Tulid selain gagal menunjukkan sebarang kemenangan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebelum ini.
Sementara itu, Exco Pemuda PBRS, Terrence Petrus, turut menegaskan bahawa PKR tidak memiliki sokongan akar umbi yang signifikan serta kurang berhubung dengan masyarakat setempat.
“Di mana mereka ketika rakyat berdepan isu pembangunan, pendidikan dan kemudahan asas? PBRS sentiasa ada bersama masyarakat — bukan hanya ketika pilihan raya,” tegasnya.
Beliau berkata, PBRS konsisten membawa pembangunan dan memperjuangkan kebajikan penduduk luar bandar sejak sekian lama, justeru layak terus diberi mandat di kerusi N.44 Tulid.
Naib Presiden Persatuan Suku Dusun Tompizos Sabah (PSDTS), Ariffin Ingkon, turut menyuarakan sokongan penuh kepada PBRS kerana parti itu lebih memahami budaya, kehendak dan denyut nadi masyarakat Tulid.
